Bagaimana Ilmu Hadits Berkembang

Tulisan ini adalah ringkasan nota daripada Manhaj al-Naqd fi Ulum al-Hadith oleh Dr Nuruddin ‘Itr. Beliau membahagikan sejarah perkembangan ilmu Hadis kepada 7 peringkat:

Peringkat Pertama: Zaman Sahabat – Hujung Kurun Pertama Hijrah: Fasa Penumbuhan

Para sahabat memelihara sunnah Nabi SAW dengan mengamalkannya, menyampaikan, menghafal dan sebahagian kecil juga menulisnya sebagai nota peribadi mereka. Mereka sikit menyampaikan sunnah Nabi kerana takut akan ancaman Nabi dan untuk mengurangkan kesilapan berlaku dalam perkongsian mereka.

Mereka menggunakan kaedah dari Qur’ān dan Sunnah untuk memelihara hadis Nabi SAW, seperti larangan menipu dan perintah untuk memeriksa berita dari seseorang yang diragui kredibilitinya. Mereka pun menjadi sangat teliti akan pernyataan-pernyataan yang disandarkan kepada Nabi SAW, malah mereka juga memeriksa, meminta sokongan saksi serta mengkritik sesama mereka (para sahabat) jika hadis yang disampaikan itu tidak diyakini, diragui, disalah fahami atau bercanggah dengan wahyu daripada al-Qur’ān dan syariat Islam.

Sanad juga bermula di zaman ini kerana sejak pembunuhan Saidina Uthman, banyak berlaku penyelewengan dan pemalsuan hadis Nabi SAW dari kalangan ahli bid’ah. Jadi setiap orang yang menyampaikan sesuatu pernyataan mengenai Nabi SAW perlulah dia kemukakan nama orang yang menyampaikannya kepadanya supaya diketahui sama ada pernyataan itu diambil dari ahli sunnah atau ahli bid’ah.

Peringkat Kedua: Awal Kurun Ke-2 Sehingaa Awal Kurun Ke-3 Hijrah – Fasa Pengumpulan Hadis

Bermulanya ramai orang menyampaikan dan bercakap mengenai hadis dalam keadaan adanya golongan-golongan sesat dalam umat Islam yang boleh menyalah-gunakan hadis. Tambahan pula, orang-orang pada zaman itu mempunyai kualiti ingatan yang kurang daripada ingatan para sahabat dan sebahagian Tabi’in sebelum mereka.

Maka berlakulah pengumpulan hadis-hadis Nabi SAW dari segi penulisan tanpa adanya disiplin, susunan atau topik tertentu. Jenis-jenis kitab hadis yang muncul zaman ini termasuklah al-Jawami’ (Jami’ Ma’mar), al-Musannafat (Musannaf ‘Abd al-Razzaq), al-Muwatta’at (Muwatta’ Imam Malik).

Kemudian muncul juga para ulama’ yang banyak memberi penilaian mengenai para perawi dan mengkritik mereka. Mereka digelar al-Nuqqad atau ulama’ al-Jarh wa al-Ta’dil yang terawal. Antaranya adalah Syu’bah ibn al-Hajjaj, al-A’mash, Ibn al-Mubarak, Yahya ibn Mai’n, Sufyan al-Thaury dan Sufyan ibn Uyainah. Mereka tidak meninggalkan sebarang ilmu hadis dalam bentuk penulisan mahupun membincangkan format penilaian hadis, tetapi kaedah penilaian hadis sudah wujud (kaedah mereka yang tersendiri) di dada-dada mereka. Kecuali sebuah saja buku karangan Imam al-Syafie’ iaitu al-Risalah yang dikatakan kitab pertama yang menulis mengenai kaedah kritikan hadis di dalamnya.

Peringkat Ke Tiga: Kurun Ke 3 Hingga Pertengahan Kurun Ke-4: Fasa Pengumpulan Ilmu-Ilmu Hadis Secara Terpisah

Ini merupakan zaman kegemilangan hadis Nabi SAW kerana muncul banyak penulisan dalam kebanyakkan cabang ilmu termasuklah bidang ilmu hadis. Kitab-kitab Hadis yang terkemuka seperti Kutub Sittah dan selainnya banyak ditulis dan digiatkan.

Begitu juga dengan kaedah-kaedah ilmu hadis mula ditulis secara menyeluruh dan sempurna dalam buku-buku secara berasingan. Semua cabang ilmu hadis telah ditulis, antaranya mengenai sejarah periwayat, ilmu tabaqat, ‘Ilal al-Hadith, Gharib al-Hadith, Nasikh wa Mansukh, al-Riwayah bi al-Ma’na, hadis Mursal, Sahih, Hadith Gharib dsbnya ditulis dalam buku-buku yang berasingan tanpa dicampur adukkan antara jenis-jenis ilmu ini. Ilmu-ilmu semuanya digelar Ulum al-Hadith.

Peringkat Ke Empat: Pertengahan Kurun Ke-4 hingga Awal Kurun Ke-7: Fasa Percantuman Ilmu-ilmu Hadis

Para ulama’ zaman ini mula mencantumkan jenis-jenis hadis dan cabang ilmu hadis yang ditulis itu menjadikan ia di dalam satu penulisan saja. Kitab yang terawal dan sangat dikagumi adalah al-Muhaddith al-Fasil baina al-Rawi wa-l-Wai’, karangan Syeikh Abu Muhammad al-Ramahurmuzi. Kemudian muncullah kitab-kitab lain selepasnya yang melakukan sepertinya. Antara tokoh-tokoh yang banyak menulis adalah: al-Khatib al-Baghdadi, al-Hakim, al-Qadhi ‘Iyadh dan Abu Nuaim al-Asfahaniy.

Peringkat Ke Lima: Kurun Ke-7 hingga Kurun Ke-10: Fasa Kematangan

Ibn Solah merupakan pemandu utama kepada perubahan yang berlaku dalam fasa ini. Penulisan beliau iaitu kitab Ulum al-Hadith (yang terkenal dengan Muqaddimah Ibn Solah) menjadi sandaran kepada kitab-kitab ulum hadis yang lain selepas beliau. Penulisan Ibn Solah ini istimewa kerana di dalamnya beliau mengeluarkan kaedah ulama’ sebelumnya secara terperinci daripada nukilan-nukilan yang diriwayatkan daripada mereka. Beliau juga memeriksa semula definisi-definisi yang diletakkan dan menerangkan definisi yang tidak diterangkan ulama’ sebelumnya. Beliau juga memberi komentar terhadap pandangan dan kaedah yang dinukilkan daripada ulama’ terdahulu.

Muqaddimah Ibn Solah menjadi model dan ikutan kepada orang lain dan muncul sejumlah besar kitab-kitab yang mensyarahkan, meringkaskan, menjadikan ia nazm syair serta memberi komentar mengenai isi kitab tersebut. Antaranya oleh Imam al-Nawawi, Ibn Kathir, Ibn al-Mulaqqin, al-Suyuti dan ramai lagi.

Tetapi susunan jenis-jenis hadis dalam Ibn Solah dilihat tidaklah mengikut susunan pembahagian sanad & matan. Ibn Hajar dalam Nukhbah al-Fikar pula telah menyusun bab-bab ilmu hadis dalam tertib yang baharu dan begitu juga ia dijadikan rujukan dan disyarahkan oleh ramai selepasnya.

Peringkat ke Enam: Kurun Ke-10 hingga Awal Kurun Ke-14: Fasa Susutnya Ulum Hadis

Pada fasa ini, inisiatif baru dan pembaharuan dalam ilmu hadis berkurangan. Ulama’ hadis juga tidak banyak sehingga kurang perhatian diberikan kepada tradisi ilmu hadis, tetapi lebih banyak tumpuan diberikan kepada bidang ilmu yang lain. Karya-karya yang ada dalam bidang ilmu hadis tidak banyak, yang ada hanya berupa ulasan ringkasan, puisi (nazm) ringkas dan perbincangan lafaz & istilah ulama’ terdahulu, tanpa mereka memberi pandangan pada topik atau isu hadis dengan mendalam.

Namun, ada juga beberapa ulama’ yang menghasilkan karya yang baik serta menjadi penggerak kepada tradisi ilmu ini, antaranya di India ada al-Muhaddith Shah WaliyuLlah al-Dehlawi. Perlu kita ingat, walaupun fasa ini umumnya nampak kurang aktif, tetapi usaha untuk menilai hadis, menjaganya, memahami maknanya tidak terhenti, bahkan ia diteruskan di fasa ini kerana telah menjadi kewajipan untuk umat Islam memelihara kesucian dan kebenaran Hadis Nabi SAW daripada diubah-ubah apatah lagi dipalsukan.

Peringkat Ke Tujuh: Kurun Ke-14 hingga Kini: Fasa Kebangkitan

Pada zaman ini berlaku pertembungan ilmu antara Timur dan Barat, dan kerana dunia ilmu makin terhakis sempadannya, maka pengkaji-pengkaji dari serata dunia pun mula giat mengkaji dan menulis dalam bidang-bidang ilmu termasuklah dalam ilmu hadis. Maka kita akan jumpa banyak penulisan yang memberi manfaat kepada perkembangan ilmu ini, tak lupa juga ada yang mengancam pemikiran serta kesucian agama ini. Usaha ini diteruskan sehinggalah ke hari ini.

Kredit: Syamilah.Heng

Video Sejarah Ringkas Ilmu Hadis

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s