MENJADI “AHLI ALLAH”

Kebiasaannya jika saya tidak singgah di kedai kopi Abang Li di hadapan sekolah Hutan Kampung, saya akan singgah di mana-mana kedai kopi sekitar laluan saya menghantar anak ke sekolah. Biasanya sekitar jalan PKNK atau Pantai Johor (walaupun ada perkataan Johor, tetapi bukan di negeri Johor sebaliknya di Alor Setar, Kedah).

Sedang duduk bersarapan roti canai dan teh saya melihat kelibat Pak Tam (nama panggilan salah seorang sahabat) yang berjalan lemah longlai menuju ke kedai tempat saya sedang bersarapan.

Kelihatan bajunya ada cebisan-cebiran rumput yang masih baru. Mungkin baru selesai memotong rumput di kebunya. Orangnya hitam manis dan peramah, di sinilah tempat kami selalu berjumpa dan berbual. Disini juga tempat beliau dan beberapa orang rakan yang lain menadah telinga mendengar saya saya berceloteh tentang ayat-ayat hukum dan hadits.

Selepas memberi salam, Pak Tam melabuhkan punggungnya di bangku sebelah saya sambil memesan kopi susu kambing kegemarannya.

“Ustaz boleh tak nak tanya, malam tadi ada sorang ustaz tu mai kuliah, dia cerita tentang Ahli Allah. Saya tak berapa faham… Cuba terang sikit.” Pak Tam memulakan kata sambil tanngannya mengeluarkan catatan yang dibuat semasa kuliah maghrib malam tadi.

Sambil menjamah menyuapkan roti canai, saya membelek-belek kertas yang dilipat kecil yang penuh dengan tulisan cakar ayam.

“Oh, pasal ni… Insyaa Allah boleh. Takpa kita makan dulu, sat lagi saya terang bagi jelas.” Jawab saya pendek, sebab sedang makan. Tak eloklah makan sambil bercakap kan… Macam kurang adab.

Rancangan awalnya cuma hendak duduk 5 minit sahaja, tetapi bertukar menjadi hampir 1 jam. Walau apa pun, permintaan orang jangan dihampakan. Saya cuba menghuraikan tentang hadits yang saya sebutkan kepada Pak Tam secara ringkas supaya beliau faham dan dapat disampaikan pula kepada orang lain.

Siapa Ahli Allah Itu?

Siapa Ahli Allah? Perlu mengisi borangkah? Berapa pula yuran tahunan? Semua itu tidak ada kena mengena dengan ungkapan tersebut. Ia berkait dengan hadits daripda Anas Bin Malik radhiallahu ‘anhu. Beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنَ النَّاسِ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ ؟ قَالَ: هُمْ أَهْلُ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ

“Sesungguhnya di sisi Allah ada ahli-Nya antara manusia”. Para Shahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah mereka?”. Baginda bersabda: “Mereka adalah ahli al-Qur’an, (mereka) ahli (orang-orang yang dekat dan dicintai) Allah dan mendapat keistimewaan di sisi-Nya”. (hadits riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim) [1]

Hadits ini ringkas tetapi maknaya sangat mendalam, menunjukan betapa manusia seperti kita ini ada kedudukannya di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala dan diberikan keistimewaan pula oleh Allah.

Sebagaimana para sahabat nabi ﷺ, begitulah juga Pak Tam, beliau ingin menjadi orang yang paling beriman dan paling bertakwa. Apabila berkait dengan faedah dan perkara yang boleh membawa manafaat untuk dirinya, dia akan bertanya. Dia mesti hendak mengambil tahu.

Begitulah adat menuntut ilmu, ilmu tidak datang sendiri seperti yang difahami oleh sesetengah orang tentang ilmu laduni. Tak perlu belajar apa-apa, ia boleh datang dengan sendiri. Hanya perlu melakukan amalan tertentu dan melazimi zikir-zikir tertentu. Tup! Ilmu dah masuk dalam d

Islam tidak begitu, ilmu itu mesti melaui fasa pembelajaran, perlu diteroka ibarat membugar tanah. Hutan tidak akan menjadi kampung jika sekadar bercekak pinggang di tepi jalan.

Jadikan Sahabat Nabi Sebagai Contoh

Dalam hadits ini, contoh terbaik adalah sikap para sabahat. Jika kita perhatikan dalam hadits-hadits nabi ﷺ, selalunya para sabahat akan bertanya apabila Rasulullah ﷺ mengungkapkan sesuatu perkara. Khususnya perkara yang berkaitan dengan ibadah, gajaran pahalan dan sebagainya.

Kebanyakan mereka tidak kaya, sebahagian daripada mereka telah melalui zaman kesengsaraan, mereka pernah diperonyok dengan kezaliman oleh musyrikin Mekah. Kehidupan pada waktu itu tidak boleh dikategorikan sebagai kehidupan yang membahagiakan. Dan sebahagian mereka juga hamba, maka apakah keistimewaan yang mereka dapat sebagai hamba?

Pastinya apabila dijanjikan sebuah keistimewaan dan kebahagiaan, mereka akan pantas mengambil tahu. Apatah lagi keistimewaan itu datangnya dari Allah, bukannya manusia. Siapa yang tidak mahu menjadi istimewa di sisi Allah. Itulah seindah-indah nikmat bagi mereka yang mampu mendapatkannya.

Allah Permudahkan Kita Untuk Mempelajari Al-Quran

Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan Al-Quran bukan sebagai perhiasan dinding atau naskah hiasan di atas dulang hantaran semata-mata. Tetapi untuk dibaca dan difahami maknanya. Diambil intipatinya dan diletakan sebagai landasan kehidupan. Itu tujuan Al-Quran diturunkan.

Jadi, orang yang inginkan keistimewaan yang disebutkan oleh hadits ini mestilah menjadikan Al-Quran itu sebagai keutamaan dalam kehidupan. Tidak kira samaada kita masih muda atau telah tua. Mempelajari Al-Quran itu adalah satu kemestian kerana ia adalah sumber rujukan utama Agama

Bagi orang-orang yang inginkan keistimewaan tersebut mereka akan berusaha, mempelajari Al-Quran. Jangan bimbang, ‘dimana ada kemahuan, disitu ada jalan’ seperti mana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (surah Al-Qamar: 17)

Cuba buka tafsir As-Sa’di, apa kata beliau? Secara ringkasnya kata Syeikh ‘Abdul Rahman As-Sa’di, maksud ayat ini adalah Allah Subhanahu wa Ta’ala akan mempermudahkan untuk seseorang itu mempelajari Al-Quran, memudahkan untuk menghafal serta memudahkan juga untuk disampaikan kepada orang lain.

Mengapa demikian? Kerana kata beliau lagi, Al-Quran diturunkan dengan perkataan yang indah, makna yang benar bagi mereka yang mengkajinya dan paling penting pentafsirannya jelas.

Jadi kalau kita belajar bersungguh-sungguh untuk memahami Al-Quran maka Allah ‘Azza wa Jalla akan memberikan kemudahan kepada kita. Oleh sebab itu, jangan bertangguh bukalah Al-Quran sekarang dan bacalah dengan memahami maksud dan apa yang hendak disampaikan kepada kita.

Al-Quran Meliputi Segenap Kehidupan

Beliau juga menjelaskan kepada kita bahawa apa yang dimaksudkan oleh ayat di atas ini merangkumi semua perkara yang menjadi peringatan kepada manusia. Dari segi halal dan haramnya, hukum-hukum, perintah dan larangan, ganjaran dan balasan yang menanti, nasihat dan sebagainya itu adalah sesuatu yang benar.

Tambah beliau lagi, Al-Quran apabila difahami, ia menjadi ilmu yang paling utama, paling tinggi dan paling mulia kedudukannya. Kerana apa? Kerana ia bukan sahaja memberi manafaat kepada orang yang membacanya, bahkan memberi manafaat kepada orang lain juga.

Oleh sebab itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat mereka akan berpegang dengan Al-Quran panduan dan rujukan dalam semua aspek kehidupan mereka.

Orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka menjalani kehidupan di dunia ini seperti orang buta; tidak melihat melainkan apa yang ditunjukan oleh Allah Rasul-Nya. Mereka ibarat orang bisu; tidak bercakap melainkan perkara yang baik-baik dan bermanafaat kepada diri mereka dan orang lain. mereka ibarat orang tuli; tidak mendengar perkara yang melalaikan yang tidak bermanafaat untuk mereka.

Bagaimana mereka melakukannya? Pastinya melalui panduan yang paling utama, iaitu Al-Quran dan sunnah-sunnah Rasulullah ﷺ.

Bersambung…

– Hanif Majid –

[1] Takhrij hadits: Diriwayatkan oleh Ahmad 3/127, Ibnu Majah 1/78 dan al-Hakim 1/743, dinyatakan hasan oleh Imam al-‘Iraqi (Takhrij al-Ihya 1/222) dan as-Sakhawi (Kasyful khafaa’, hlm. 292), dan dinyatakan shahih oleh Imam al-Hakim dan Syaikh al-Albani.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s